Rabu, 01 Oktober 2008

ASSALAFIYAH ALWAHHABIYAH

Sesungguhnya aliran pemikiran salafiah memainkan peranan penting dalam mesyarakat Islam sekarang, sebagaimana dakwah salafiah memberi kesan yang kuat dalam hati orang-orang Islam. Ini kerana orang-orang Islam yang beriman merasa tertarik kepada asas-asas akidah yang murni ini kerana kemurnianlah yang menjadi satu-satunya asas yang patut dijadikan landasan bagi mana-mana akidah yang diinginkan kekal sepanjang masa.
Memandangkan salafiah menyeru supaya umat Islam kembali kepada asas-asas yang murni maka dengan sendirinya orang-orang Islam sekarang mendapati dirinya sebagai salafi. Dalam keadaan yang sukar ini orang-orang Islam berusaha mencari identitinya


Dalam kesesatan ini mereka tidak tahu arah mana mereka harus tujui, salafiah mendakwa menyediakan penunjuk jalan bagi yang sesat. Penunjuk jalan ini ialah kembali kepada asas agama yang murni. Memandangkan mustahil bagi seseorang Islam menemui identitinya di luar lingkungan akidah, pada waktu yang sama dia juga tidak dapat menemui peribadinya jika dia terumbang ambing di antara panduan-panduan akidah yang luas, maka mahu tidak mahu dia terpaksa menerima pemikiran ini, iaitu kembali kepada asas yang murni sekalipun dia tidak tahu jalan-jalan menuju ke arah itu. Inilah keadaan salafiah yang terngiang-ngiang di telinganya dengan kata-kata kamu mesti kembali ke asal usul akidah dan agamamu yang murni. Dari sini kita dapati seorang Islam itu adalah salafi dengan sendirinya mahu atau tidak mahu dia merasa tertarik dan sesuai dengan

fitrahnya, kerana mustahil untuk mendapat identitinya di luar lingkungan ini. Kalau begini halnya apakah salafiah itu? Adakah di sana lebih dari satu aliran dakwah salafiah?
Inilah yang kami akan bincangkan dalam pendahuluan sebelum kita membincangkan tajuk-tajuk pokok dalam kajian ini, Memandangkan tajuk yang kami pilih “Salafiah Wahabiyah di Antara Pro dan Kontra” maka wajiblah kita hilangkan kekaburan yang meliputi perkataan “Salafiah” iaitu satu perkataan yang dikelilingi kekaburan dari segala segi. Tajuk ini adalah luas barangkali saya tidak layak untuk menulis mengenai tajuk ini sekarang, tetapi saya masih terus memikirkannya. Akhirnya saya putuskan untuk menulis mengenai salah satu aliran dakwah salafiah, dengan memilih gerakan salafiah yang diasaskan oleh Sheikh Muhammad Abdul Wahhab di pertengahan kurun 12H. Kemudian saya dapati banyak kajian-kajian yang telah dibuat mengenainya, tetapi kebanyakannya sama ada pro atau kontra, sangat susah untuk mendapatkan kajian yang betul-betul neutral dalam hal ini. Dari sinilah saya melihat supaya kajian ini diberikan tajuk bukan sahaja Salafiah Wahabiah tetapi “Salafiah Wahabiah: Pro dan Kontra”. Memandangkan dakwah ini mempunyai penyokong dan penentang yang ramai maka sesuailah saya melihatnya daripada kedua aliran yang bertentangan ini supaya saya tidak memihak kepada mana-mana pihak dalam pertentangan di antara Salafiah Wahabiah dan musuh-musuhnya.
Adapun manhaj yang saya gunakan dalam kajian ini, mula-mula sekali terdiri daripada perkara-perkara berikut: yang pertama, membentangkan pemikiran-pemikiran dan dasar Salafiah Wahabiah dan menganalisanya demi untuk mencapai natijah-natijah yang positif dan negatif yang timbul dari pemikiran-pemikiran ini. Yang kedua,

perbandingan di antara pandangan-pandangan penyokong dan penentang serta membincangkan dan mengkritiknya untuk mengetahui nilai ilmiah bagi permasalahan yang dipertikaikan dan kesannya dalam kehidupan orang-orang Islam sekarang.
Memandangkan tajuk ini agak sensitif, maka saya tidak akan kaitkan mana-mana pendapat kepada mana-mana pihak atau peribadi kecuali setelah menyebut sumber-sumber rasmi bagi pendapat-pendapat tersebut, sebagaimana yang dikehendaki kajian ilmiah. Saya telah bahagikan kajian ini kepada tujuh bahagian termasuk pendahuluan dan pengantar dan bahagian khas untuk mengkaji sumber-sumber dan rujukan. Saya bincangkan dalam pengantar istilah “Salafiah” dengan membawa pendapat ulama-ulama dahulu dan sekarang dan mengambil satu kesimpulan bahawa mana-mana aliran yang menyeru supaya kembali kepada asas-asas Islam yang murni, dengan tidak mengambil kira tafsiran-tafsiran yang diberikan kepada asas-asas ini, maka dianggap sebagai Salafiah. Dalam bahagian pertama saya sentuh tentang kehidupan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahhab, perkembangannya, perjalanannya dan persekitarannya dan kami mengambil satu kesimpulan sesuai dengan sumber-sumber sejarah dan pendapat-pendapat ulama bahawa apa yang dikatakan mengenai keadaan agama di Najd sebelum timbulnya dakwah Wahabiah adalah tidak benar. Banyak pandangan yang melampau dikemukakan oleh pihak penyokong dan jelas bagi kita bahawa di zaman itu terdapat masyarakat Islam yang melaksanakan syiar-syiar Islam, bukan hanya syirik semata-mata yang terdapat di Najd sebagaimana yang dikatakan.

Dalam bahagian kedua dan ketiga, kami menyentuh pendekatan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahhab dan falsafahnya dalam masalah pemurnian tauhid dan kami mengambil satu kesimpulan bahawa pemikiran ini mempunyai dua dimensi, yang pertama dimensi agama semata-mata yang bertujuan untuk pemurnian tauhid daripada khurafat dan syirik. Manakala yang kedua dimensi sosio politik. Tujuannya ialah untuk mewujudkan satu sistem politik yang kukuh yang boleh melaksanakan pemurnian tauhid. Kami melihat bahawa natijah-natijah yang penting bagi pemikiran ini ialah, Sheikh Muhammad bin Abdul Wahhab telah berjaya merapatkan kedua-dua dimensi tadi. Di segi yang lain kami dapati Sheikh Muhammad bin Abdul Wahhab menggugurkan dimensi yang pertama sehingga dimensi kedua menonjol dan berperanan. Dan kami melihat bagaimana perkara ini telah menyebabkan jumudnya fiqah politik dan mazhab Salafiah Wahabiah dan seterusnya gagal untuk menangani keadaan.
Dalam bahagian keempat dan kelima kami bincangkan pendapat-pendapat penyokong dan penentang. Kami juga mengkritik dan menganalisa permasalahan-permasalahan yang dipertikaikan dan kami mengambil satu kesimpulan bahawa perbezaan di sini hanyalah perbezaan pentafsiran dan sikap. Ia bukan satu perbezaan yang dapat menghalang usaha-usaha untuk mengatasi masalah-masalah dunia Islam. Dalam bahagian keenam kami menyentuh natijah-natijah perselisihan dan kesan-kesannya ketika kami membincangkan sikap Salafiah Wahabiah terhadap setengah golongan Islam dan kami melihat bahagian mana natijah-natijah ini memberi implikasi terhadap hubungan di antara Salafiah Wahabiah dengan golongan-golongan Islam yang lain.
Dalam bahagian ketujuh kami membincangkan kesan dakwah Wahabiah di dunia Islam dan peranannya dalam dakwah hari ini dan kami mengambil satu kesimpulan bahawa banyak pendapat yang melampau mengenai gambaran dakwah Wahabiah dan pemikirannya di dunia Islam. Kami telah dapati bahawa di sana ada aliran salafiah yang bukan timbul daripada Wahabiah sebagaimana di sana ada juga banyak gerakan Islah yang terpengaruh dengan dakwah Wahabiah secara terang-terang. Adapun peranan Salafiah Wahabiah dalam bidang dakwah pada hari ini. Kami melihat bahawa peranan gerakan ini menyentuh banyak masalah. Yang paling penting ialah uslub yang digunakan oleh para da’i Wahabiah. Di antaranya sikap Wahabiah yang mewujudkan permusuhan terhadap golongan-golongan Islam yang lain sehingga memburukkan lagi perselisihan sehingga setengah golongan Islam melarikan diri daripadanya. Pada akhir kajian ini kami tutup dengan cadangan supaya penyokong dan penentang meninggalkan perselisihan dan permusuhan, lalu menumpukan kerjasama menyelamatkan ummat Islam daripada ketinggalan dan kehilangan


Selengkapnya......